Sutun merupakan sebuah gambar yang telah diperkenalkan oleh Dr.Razif di dalam kelas. Saya tidak pernah menonton gambar ini, namun apabila ditayangkan di dalam kelas saya amat tertarik mungkin kerana saya mempunyai pengalaman bersama orang seperti adek watak utama dalam gambar Sutun. Kami juga telah diberikan satu aktiviti yang berkaitan dengan gambar ini dan saya berasa ia amat berkesan untuk membantu seseorang untuk melihat gambar bukan sahaja demi keseronokan bahkan juga dari perspektif akademik dan dari pelbagai sudut. Ini telah membuatkan saya terfikir tentang perasaan watak utama, faktor yang menyebabkannya berkelakuan sebegitu dan kesannya terhadap diri adek.
Soalan 1
Jikalau anda belum pernah menonton filem ini, apakah isu-isu atau perkara yang menarik perhatian anda dalam filem ini. Adakah perkara dalam filem ini yang tidak anda fahami dengan baik? Adakah anda merasakan jika anda menonton filem ini buat kali kedua dan seterusnya, anda akan faham hal-hal ini dengan lebih baik?
Saya tidak pernah menonton filem Sutun sebelum ini. Inilah kali pertama saya menontoninya. Namun saya agak tertarik dengan watak adek dan ceritanya yang menyentuh tentang masyarakat yang dikatakan lemah lembut seperti adek dalam gambar sutun. Sudah lama saya tidak menonton filem-filem yang membawa mesej kepada masyarakat. Oleh itu, apabila saya melihat Sutun buat kali pertama ia membuatkan saya tertarik kepada watak adek. Ini adalah kerana bakat adek yang dapat membawa saya mengalami perasaan adek dalam gambar Sutun. Saya juga percaya bahawa gambar Sutun ini dihasilkan dengan niat untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat. Terdapat juga beberapa perkara yang saya tidak faham dalam gambar Sutun ini, mungkin kerana inilah kali pertama menontonnya. Pertama ialah apabila Abang Saiful mengajak Adek untuk datang ke Kuala Lumpur untuk menyertai kumpulan tariannya. Saya ingatkan, dia benar-benar mempunyai kumpulan penari. Namun saya mendapati adegan itu membawa maksud tersirat setelah berbincang bersama Marrissa. Seterusnya ialah adegan terakhir di mana keluarga adek menziarahi kubur. Saya menjangkakan bahawa adek yang telah meninggal dunia akibat lemas. Selepas mendengar perbualan akhir barulah saya tahu bahawa, adek tidak meninggal dunia dan mereka ke sana untuk menziarahi ibu yang tiada di dunia ini. Saya juga rasa, saya akan lebih memahami gambar ini sekiranya, saya menontonnya buat kali kedua. Ini adalah kerana, suara dari gambar yang ditonton dalam kelas tidak begitu jelas. Ia membuatkan saya tidak dapat menangkap apakah yang dibualkan dalam satu-satu adegan. Dengan ini, saya juga tidak dapat mengikut gambar dengan lebih jelas.
Soalan 2
Bincangkan bagaimana watak-watak, plot, konflik atau tema dalam Sutun dapat dilihat dari sudut salah satu teori sastera yang anda pilih.
Saya telah mencari makna reader respons daru sudut pandangan lain. Ada sumber mengatakan bahawa "pendekatan Reader response merupakan pergeseran paradigma dari analisis yang terfokus pada teks kepada tanggapan siswa terhadap teks. Pendekatan ini bertujuan mendidik siswa menajadi pembaca yang baik untuk menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang dimilikinya untuk melakukan imaginative re-creation terhadap apa yang dibacanya dan bukan memaksakan kemurnian dan nilai-nilai yang khas teks sastra".
Saya amat bersetuju dengan pandangan ini sebab itulah saya telah memilih pendekatan reader respons kerana saya dapat mengaitkan dengan kehidupan nyata atau realiti.
Watak
Bagi watak, saya amat tertarik dengan watak adek dalam gambar Sutun. Adek merupakan watak utama dalam gambar ini. Dia memainkan satu watak yang agak berat iaitu seorang jejaka muda yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan. Kelembutannya dan sifat-sifat yang ditonjilkan membuatkan ayahnya berasa malu untuk mengakunya sebagai anak sendiri dan menyebabkan rakan-rakan sekolahnya mengambil kesempatan mengejeknya. Pada pandangan saya, watak adek telah dilakonkannya dengan baik sekali yang akhirnya menyelesaikan konflik yang timbul iaitu untuk menjadi seorang insan yang dihormati ramai. Dengan menggunakan pendekatan reader respons, saya berpendapat bahawa gambar ini banyak berkaitan dengan golongan yang sememangnya menghadapi masalah dalam realiti. Masyarakat yang tidak boleh menerima mereka sebagai sebahagian daripada kita. Saya tidak pasti ketika masih muda lagi, mengapa hal ini terjadi atau mengapa orang-orang ini berkelakuan sebegini. Namun saya mula memahaminya setelah meningkat dewasa dan juga melalui pendidikan. Setelah menonton gambar ini, saya dapat mengimbas kembali satu situasi yang sama yang pernah saya alami. Saya telah mempunyai seorang rakan ketika di sekolah menengah yang mempunyai masalah yang sama. Dengan menggunakan pendekatan ini, saya dapat mengaitkannya dengan apa yang telah saya alami. Jadi pendekatan reader respons banyak membantu kita dalam mengaitkan peristiwa dengan realiti. Oleh itu, saya rasa pendekatan ini sangat berguna bagi pelajar-pelajar teutamanya, supaya mereka dapat melihat kaitan dengan kehidupan seharian.
Soalan 3
Baca bahan yang diberikan tentang Teori-teori sastera. Pilih dua teori yang anda fikir paling berguna atau membantu dalam menerangkan filem yang anda tontoni.
Pada saya, teori Reader Respons merupakan satu toeri yang amat berguna dalam menerangkan filem Sutun. Seperti yang telah saya katakan tadi ia bergantung kepada individu yang membaca teks atau melihat gambar untuk menentukan apa yang difahaminya. Kritikan ini sememangnya bergantung kepada orang yang melihat untuk mengaitkannya dengan kehidupan kita. Teori kedua yang telah saya pilih ialah teori Feminis. Kritikan ini bertumpu kepada masyarakat kita yang mengamalkan konsep patriakal. Seperti yang kita sedia maklum, konsep patriakal lebih mementingkan keturunan lelaki. Ia juga membincangkan kedudukan dan kepentingan wanita dalam mayarakat patriakal. Selain itu, kepentingan mengenai gender merupakan aspek yang ditekankan dalam kritikan feminis merupakan sebab penting saya memilih teori ini. Ini adalah kerana gambar Sutun yang berkonsepkan kepentingan gender dalam masyarakat.
Soalan 4
Fikirkan kembali tentang filem ini berdasarkan setisp teori yang telah anda pilih untuk soalan 3.
Bagi soalan ini saya telah memilih teori reader respons bagi menjelaskan tentang gambar Sutun. Seperti yang telah dibincangkan tadi teori reader respons memberikan hak sepenuhnya kepada pembaca untuk menentukan pemahaman mereka dan mengaitkannya dengan kehidupan seharian. Apabila saya melihat gambar Sutun dan menggunakan teori reader respons, ia telah mengingatkan saya kepada pengalaman saya di sekolah menengah. Saya telah mempunyai seorang rakan yang mempunyai watak adek dalam gambar Sutun. Ketika itu, saya berfikir mereka sengaja berkelakuan begitu, maklumlah ketika itu masih di tingkatan 2. Saya juga tidak faham akan perasaan yang mungkin telah dialami olehnya. Namun saya tetap berkawan dengannya. Kami sekelas dan selalunya dia banyak membantu jika seseorang itu tidak faham akan pelajaran dan sebagainya. Seperti dalam gambar Sutun, dia juga tidak mempunyai ramai rakan. Pada saya, dia seorang yang sangat baik hati kerana dia mudah memahami perasaan orang lain namun orang lain tidak memahami apa perasaanya. Entahlah mungkin sewaktu itu kami tidak cukup matang untuk memahami perkara sebegini. Rakan-rakan lelaki yang sekelas dengan saya selalu mengejeknya dan memanggilnya ‘pondan’. Kelakuan dan sifatnya sama seperti watak adek dalam gambar Sutun. Sedikit demi sedikit dia mula berubah dari segi beg yang dibawa ke sekolah, mula memakai bedak perempuan, cara jalannya, gaya percakapan dan sebagainya. Apabila masuk tingkatan 3, dia seolah-olah macam budak perempuan yang memakai pakaian seragam lelaki. Saya masih sama kelas dengannya. Masa itu saya telah dapat memahami kenapa dia berkelakuan sebegini. Pernah sekali dia menangis mengadu pada saya yang semua orang mengejeknya. Namun apakah daya saya sebagai seorang pelajar. Tidak lama kemudian, dia telah bertukar sekolah. Kini saya tidak tahu di mana dia berada atau apa yang dia sedang lakukan. Inilah pengalaman yang dapat saya kaitkan apabila saya menonton gambar Sutun. Pada pendapat saya, saya tidak menyalahkan anak-anak sebegini. Mungkin faktor genetik atau faktor persekitaran yang menyebabkan mereka bertukar. Tetapi satu perkara yang saya perhatikan dalam gambar Sutun ialah ibunya. Pada pendapat saya, jika seorang anak itu lelaki maka pakaikanlah pakaiain lelaki dan besarkannya seperti seorang lelaki. Saya rasa dalam gambar tersebut, ibunya juga harus disalahkan. Mungkin dia juga menjadi salah satu factor mengapa adek telah berkelakuan begitu. Namun jika ianya faktor ginetik maka tidak ada pihak yang harus disalahkan. Saya percaya semua manusia adalah ciptaan tuhan dan pasti mempunyai sebab musababnya seseorang itu dilahirkan sebegitu. Bagi teori feminis pula, pandangan masyarakat memainkan peranan yang penting dalam menerima atau tidak hakikat insan seperti adek dalam Sutun. Walaupun kita hidup dalam masyarakat patriakal namun kita haruslah melihat masalah sebegini dengan fikiran yang lebih terbuka. Kita juga haruslah memikirkan faktor-faktor yang menybabkan seseorang itu berkelakuan sebgitu dan bukan hanya menyalahkan orang-orang sebegitu. Saya akui faktor gender amat dipentingkan dalam masyarakat patriakal, namun apakah salah orang-orang seperti adek? Mereka juga mengalami pelbagai konflik dan rintangan dalam menentukan identiti mereka. Mereka juga mengalami pelbagai pergelutan jiwa dalam mengharungi kehidupan seharian.